AHLI KUMPULAN 1
1. MOHD HAFIZULLAH BIN UDING L20222012969
2. MOHAMAD AZEEM BIN SHAMSUDDIN L20222012968
3. MUHAMMAD TERMIZI OTHMANI L20222012972
TAJUK 1 : PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA
(Fungsi Pendidikan ke arah pembangunan)
Fokus pembelajaran:
-Maksud Negara Bangsa
-Sistem pendidikan semasa pemerintahan British dan selepas merdeka
-Pembentukan negara bangsa melalui pendidikan
Assalamualaikum, sebelum kita mulai, jom kita perhatikan paparan video dibawah....
NEGARA BANGSA
Negara ialah entiti politik atau geopolitik, manakala bangsa ialah entiti budaya atau etnik. Konsep negara bangsa ialah sebuah negara bagi satu bangsa yang berdaulat, mempunyai identiti tersendiri iaitu bangsa Malaysia. Takrif negara bangsa Malaysia menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, negara bangsa dibina dan dibangunkan dengan rakyat yang menyanjung masa depan bersama, bersatu padu, menikmati
kehidupan bersama berasaskan hal dan keadilan serta menumpukan taat setia dan
pengabdian tidak berbelah bahagi terhadap bangsa dan negara.
Kepelbagaian etnik dalam Malaysia memberikan pelbagai kelebihan dan tidak kurang juga pelbagai masalah yang timbul. Oleh yang demikian, pelbagai usaha dan inisiatif dilakukan bagi menyelesaikan sebarang masalah yang mungkin timbul akibat kepelbagaian etnik ini. Aspek pendidikan sangat penting dalam membentuk pembinaan sebuah negara bangsa
Malaysia yang mantap.
Sistem pendidikan negara ketika zaman penjajahan tidak memfokuskan kepada keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan
dan perpaduan negara. Semasa Tanah Melayu terjajah, mungkin sistem ini sesuai , namun tidak apabila sudah merdeka. Oleh itu, beberapa langkah-langkah diambil bagi menggubal satu sistem
pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka dan mempunyai
matlamat-matlamat sendiri. Pendidikan negara telah mengalami evolusi sejajar dengan
pembangunan dan kemampuan negara.
SISTEM PENDIDIKAN
SEMASA PEMERINTAHAN BRITISH
Pendidikan pada era penjajahan British berbeza dengan pendidikan yang ada pada hari ini. Sebelum kemerdekaan Tanah Melayu terdapat lima aliran sekolah yang utama pada masa tersebut iaitu sekolah aliran Melayu, sekolah aliran Cina, sekolah aliran Tamil, sekolah aliran Inggeris dan sekolah aliran agama (madrasah).
LAPORAN RAZAK 1956
AKTA PENDIDIKAN 1961
AKTA PENDIDIKAN 1996
Akta ini berfokuskan kepada
kesinambungan dasar-dasar sedia ada dan kepada pembangunan pentadbiran
pendidikan dan pembangunan beberapa jenis pendidikan, khususnya pendidikan prasekolah, pendidikan khas, pendidikan tinggi, dan pendidikan swasta.
Berikut disenaraikan
beberapa perkara penting yang terlaksana dalam Akta Pendidikan ini: i. Wawasan pendidikan adalah berlandaskan kepada Falsafah
Pendidikan Negara,
ii. Sistem Pendidikan Kebangsaan meliputi semua
peringkat termasuk pra- sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah,
pendidikan pascamenengah dan pendidikan tinggi, iii. Pengukuhan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar dalam
sistem pendidikan kebangsaan,
iv. Pendidikan swasta dikawalselia melalui akta lain,
v. Kurikulum kebangsaan diperuntukan,
vi. Peruntukan peperiksaan awam yang perlu dipatuhi,
vii. Bahasa kebangsaan sebagai matapelajaran wajib,
viii. Peruntukan bahasa Cina, Tamil dan bahasa Orang Asli,
ix. Tempoh pendidikan rendah antara 5 hingga 7 tahun
DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Seiring dengan pembentukan Dasar Pendidikan Kebangsaan, sebuah falsafah pendidikan telah digubal iaitu Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang digubal pada tahun 1988, ianya meliputi proses-proses pendidikan di Malaysia dan menekankan pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu bagi membentuk pelajar yang seimbang daripada segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Petikan di atas menjelaskan bahawa kerajaan Malaysia amat menitikberatkan peranan pendidikan bagi melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan dan seimbang dari pelbagai aspek. Tidak dinafikan, kepercayaan kepada Tuhan adalah suatu pengabdian rohani yang paling tinggi yang perlu dicapai oleh semua penganut agama masing-masing. Pendidikan yang sempurna mampu melahirkan seorang insan yang berilmu, sifat yang baik seperti bertanggungjawan dan berakhlak mulia adalah penting bagi melahirkan modal insan yang berkualiti. Oleh itu, falsafah pendidikan negara ini juga amat berkait rapat dengan perkembangan dunia Islam dan pembangunan negara Malaysia.
PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA MELALUI PENDIDIKAN
Sistem Persekolahan Yang Seragam
Dasar pendemokrasian pendidikan bermula pada tahun 1962 dengan memberi
penekanan kepada pendidikan percuma untuk semua pelajar. Dasar ini diperluas
dengan mengadakan pendidikan universal selama sembilan tahun apabila peperiksaan
pemilihan masuk ke sekolah menengah dihapuskan pada tahun 1964. Penghapusan
peperiksaan pemilihan ini menyebabkan peningkatan kadar penyertaan ke sekolah
menengah.
Kadar ini terus meningkat apabila terdapat perubahan dasar yang melanjutkan pendidikan universal kepada 11 tahun secara berperingkat mulai tahun 1992 Sistem pendidikan mengalami banyak perubahan, antaranya Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar utama yang dilaksanakan sepenuhnya pada peringkat menengah di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun 1982, manakala di Sarawak pada tahun 1990.
Penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua juga turut diberi tumpuan. Walau bagaimanapun, selaras dengan Akta Pelajaran 1961, sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa Cina atau bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar terus dikekalkan. Mata pelajaran Sivik diperkenalkan bagi menyemai semangat jati diri di kalangan pelajar. Pendidikan Sains dan Teknikal diberi lebih penekanan pada peringkat menengah bagi menghasilkan tenaga kerja mahir.
Sekolah yang pelbagai aliran ini telah mewujudkan kesukaran bagi negara ini untuk membentuk bangsanya yang tersendiri. Hal ini kerana, setiap bangsa di negara ini masih cuba mengekalkan identiti etnik masing-masing. Perkara ini merupakan masalah utama yang dihadapi oleh kita saban hari. Melalui Akta Pendidikan 1961, masalah sekolah vernakular ini cuba diselesaikan melalui pengajaran dan pembelajaran menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar. Namun sekali lagi, golongan bukan Melayu terutamanya etnik Cina menentang pelaksanaan perkara ini.
Golongan ini beranggapan bahawa perkara ini akan menghakis jati diri mereka. Meskipun semenjak 1960an lagi telah wujud langkah-langkah untuk menyelesaikan perpecahan dalam pendidikan, namun masalah ini akan terus melanda negara ini pada dekad-dekad mendatang. Perkembangan terhadap sistem pendidikan berterusan sehingga ke hari ini antaranya termasuklah penubuhan Sekolah Bestari 1995, Koridor Raya Multimedia 1999, Ujian Bahasa Inggeris (MUET), PSMI 2003, Sekolah Wawasan dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006.
Perlaksanaan pelbagai program ke arah perkembangan sistem pendidikan ini akan berlanjutan untuk masa-masa yang akan datang. Pelajar-pelajar yang dahagakan ilmu pengetahuan terus meningkat dari setahun ke setahun dalam mendaftarkan diri mereka ke sekolah-sekolah rendah dan menengah di seluruh Malaysia. Malah melalui, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dirangka pada tahun 2013 dalam tempoh bermula 2015 hingga 2025, di mana pelan pendidikan tinggi telah dibangunkan oleh rakyat Malaysia dan akan memacu Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi.
Melalui perkembangan ini, Malaysia semakin jelas ke arah pembentukan sebuah unit masyarakat yang berpaksikan kepada satu sistem identiti yang sama, melahirkan modal insan yang bermanfaat untuk pembangunan negara serta menjana pendapatan negara melaluinya. Pembentukan negara bangsa, selain dipengaruhi oleh semangat kekitaan dalam diri masyarakat itu sendiri, ia juga disemai melalui pendidikan dan ia masih berterusan sehingga ke hari ini apabila sebuah dasar telah dirangka untuk tempoh sepuluh tahun.
Sukatan Pelajaran Yang Sama
Apabila berbincang mengenai sistem pendidikan yang wujud di Malaysia, kita tidak dapat lari daripada turut membincangkan mengenai sukatan pelajaran yang digunapakai di negara ini. Sebagaimana yang telah dibincangkan, negara kita mempunyai pelbagai aliran persekolahan dan masing-masing menggunakan sukatan pelajaran yang berbeza. Namun begitu selepas kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, terdapat usaha bagi menyeragamkan sukatan pelajaran. Perkara ini dilakukan untuk memudahkan kerajaan menyemai sifat perpaduan dalam kalangan murid sekolah dan merapatkan jurang antara kaum di Malaysia. Perpecahan yang wujud dalam kalangan penduduk Malaysia ini dapat diselesaikan melalui sukatan pelajaran yang seragam. Oleh itu, Laporan Mahathir menekankan supaya sukatan pelajaran yang lebih tersusun dan seragam digunapakai di seluruh Malaysia.
Jawatankuasa Kabinet yang diketuai oleh Dr. Mahathir ini telah meneliti tentang keperluan bagi negara ini mempunyai sukatan pelajaran yang seragam dan kemudiannya Kurikulum Bersepadu Sekolah rendah dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah telah dilaksanakan. Laporan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa ini telah menekankan beberapa perkara iaitu kedudukan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, lebih menfokuskan kepada pendidikan kerohanian, disiplin yang kukuh, pendidikan menengah atas terbahagi kepada dua jurusan iaitu jurusan akademik dan vokasional dan kurikulum ala Malaysia lebih ditegaskan.
Perkara ini menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia sememangnya komited dalam usaha menyeragamkan sukatan pelajaran di negara kita.Sekiranya dilihat kembali sukatan pelajaran yang digunapakai sebelum kemerdekaan, sekolah-sekolah di Tanah Melayu masih lagi berbeza antara satu dengan yang lain. Sekolah vernakular Cina mengguna pakai buku teks dan sukatan pelajaran yang digunapakai di sekolah-sekolah China. Manakala sekolah vernakular Tamil pula menggunapakai buku teks dan sukatan pelajaran yang digunapakai di sekolah-sekolah India.
Begitu juga dengan sekolah vernakular Melayu yang menggunapakai buku teks dan sukatan pelajaran yang mirip kepada sekolah-sekolah di Indonesia. Sekolah aliran agama (madrasah) pula menggunakan teks-teks agama sebagai sumber utama dalam pelajaran. Memburukkan lagi keadaan apabila sekolahsekolah vernakular ini menggunakan tenaga pengajar daripada negara ibunda mereka. Melihat kepada aspek sukatan pelajaran, ternyata sekiranya tidak terdapat sukatan pelajaran yang seragam pembinaan negara bangsa Malaysia adalah sukar untuk dicapai.
Meskipun terdapat pelbagai inisiatif lain yang dilakukan oleh kerajaan namun sekiranya sukatan pelajaran yang seragam diabaikan maka bangsa Malaysia hanyalah sekadar impian. Untuk mencapai bangsa Malaysia yang kukuh, kerajaan dan rakyat Malaysia harus bersedia untuk menggunapakai sebuah sukatan pelajaran yang bersepadu dan seragam. Hal ini bermaksud, terdapat pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh etnik-etnik yang terdapat di Malaysia termasuk golongan Bumiputera.
Sukatan pelajaran yang sama isi kandungannya di mana yang telah disyorkan oleh Jawatankuasa Kabinet dianggap sebagai salah satu asas kepada sistem pendidikan kebangsaan bagi mewujudkan pembentukan negara bangsa. Jawatankuasa Sukatan Pelajaran Am dan Jadual Waktu yang dibentuk pada tahun 1956 telah membentuk sukatan pelajaran yang sama kandungan bagi semua matapelajaran di semua aliran sekolah.
Dalam tahun 1960 Penyata Rahman Talib yang mana telah menyemak semula Penyata Razak telah menitikberatkan perlunya kurikulum sekolah disesuaikan dengan keadaan dan keperluan negara.Usaha yang serius telah dibuat bagi menyemak semula dan mempebaharui sukatan-sukatan pelajaran supaya dapat membentuk negara bangsa. Murid-murid dikehendaki mengambil mata pelajaran yang sememangnya membantu ke arah perpaduan seperti Pendidikan Agama Islam atau Pendidikan Moral dan ilmu pendidikan sosial yang lain.
Selain itu, Kementerian Pelajaran juga telah merancang untuk memperkenalkan matapelajaran Pendidikan Moral di semua sekolah. Matapelajaran ini penting bagi melahirkan masyarakat yang mempunyai sifat-sifat toleransi, kerjasama dan persefahaman yang mana ianya merupakan asas penting dalam pembinaan negara bangsa.
Sistem Peperiksaan Yang Sama
Kerajaan telah menseragamkan kurikulum di sekolah-sekolah dengan cara mewujudkan satu sistem peperiksaan awam yang sama. Hal ini membolehkan muridmurid di peringkat pendidikan menengah untuk mengambil Peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dengan adanya sukatan pelajaran yang sama isi kandungannya dan peperiksaan yang sama. Maka pelajaran murid-murid tidak terganggu apabila terpaksa berpindah sekolah.
Selain itu, sukatan pelajaran yang sama kandungannya yang boleh diikuti oleh semua murid dari berbagai aliran bahasa pengantar membolehkan mereka mendapat pendidikan yang sama. Hal ini dapat membantu dalam menjayakan proses menyatupadukan murid-murid yang berbilang kaum. Di samping itu, ianya juga dapat membantu dalam proses pembinaan
negara bangsa. Sebaliknya jika murid-murd tidak mengikuti sukatan pelajaran yang
berlainan, maka rupa bangsa dan keperibadian tidak dapat diwujudkan.
Oleh itu, seperti yang termaktub dalam Dasar Pendidikan Negara di mana
peruntukan terhadap sebuah peperiksaan yang seragam di Malaysia, suatu keseragaman dari aspek peperiksaan sememangnya akan memberikan kemudahan dalam
pendidikan, malah walaupun perbezaan tenaga pengajar dan perbezaan cara
penyampaian kurikulum dalam setiap sekolah yang dijalankan sama ada sekolah
Vernakular dan Sekolah Kebangsaan itu sendiri, namun satu sistem pendidikan yang
sama telah berjaya dibentuk. Keadaan ini seiring dengan satu usaha dalam
mewujudkan satu pendidikan yang sempurna dan relevan kepada semua pelajar di
Malaysia.
Kesepaduan dapat diwujudkan melalui sistem peperiksaan yang seragam apabila terdapatnya program-program atau bengkel pendidikan yang akan dijalankan oleh sekolah-sekolah yang berlainan daerah dan murid-murid akan berkumpul untuk bersama melakukan perbincangan mengenai subjek dan soalan. Secara tidak langsung melalui peperiksaan yang seragam, keseragaman dalam pembelajaran setiap sekolah di Malaysia juga dapat diwujudkan dan sekaligus hal ini memperlihatkan akan budaya sihat yang dibawa sejak sekolah lagi dalam mengeratkan kesepaduan.
Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pengantar
Keadaan ini adalah bertetapan dengan strategi dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan
yang mana bagi mencapai matlamat dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk
menubuhkan satu sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan Negara
dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi, dan politiknya. Oleh
itu, di sekolah-sekolah bahasa Melayu adalah merupakan satu alat yang dapat
menyatupadukan semua kaum dalam peringkat awal.
Bahasa pengantar yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran juga
antara masalah yang dihadapi oleh Malaysia dalam sistem pendidikannya.
Kewujudan
sekolah-sekolah vernakular di Malaysia semenjak sebelum kemerdekaan lagi telah
menyebabkan sistem pendidikan negara sukar untuk distruktur semula. Sekolah sekolah vernakular ini menggunakan bahasa ibunda masing-masing sebagai bahasa
pengantar. Bahasa pengantar yang berbeza-beza ini menyebabkan perpaduan yang
cuba dipupuk kelihatan semakin susah. Oleh itu, kerajaan Malaysia telah menubuhkan
pelbagai jawatankuasa untuk mengkaji mengenai perkara. Malah semenjak sebelum
merdeka lagi perbincangan mengenai bahasa pengantar di sekolah-sekolah telah
wujud.
Dalam Laporan Razak ada menyatakan mengenai bahasa pengantar ini;
"Kami percaya iaitu mustahak bagi sekolah-sekolah kita berjiwa Tanah Melayu dan kami telah mencadangkan perkara ini boleh dapat dicapai dengan jalan diadakan satu sukatan pelajaran yang sama bagi semua sekolah supaya semua murid itu mempelajari sama jenis perkara pelajaran walaupun menggunakan bahasa-bahasa lain.”
Pada masa laporan ini dikeluarkan, tidak ada keperluan lagi untuk bahasa pengantar yang seragam digunapakai dalam sistem pendidikan negara. Namun begitu, isu mengenai bahasa pengantar ini akan terus membelenggu negara kita. Selain itu, bahasa pengantar yang digunakan di sekolah sekiranya tidak dijadikan perkara yang mampu membina bangsa Malaysia maka ianya berkemungkinan untuk menjadi faktor yang memustahilkan bangsa Malaysia untuk wujud.
Pembinaan negara bangsa memerlukan penyatuan dalam kalangan penduduk. Sekiranya bahasa pengantar tidak menjadi ejen perpaduan maka adalah sukar untuk Malaysia membina negara bangsanya yang tersendiri. Untuk merapatkan jurang antara etnik ini dan menyelesaikan masalah bahasa pengantar ini maka pada tahun 1960 Laporan Rahman Talib telah membuat penegasan terhadap kepentingan mempunyai bahasa pengantar yang seragam. Dalam laporan ini menyatakan;
“...mengekalkan perbezaan bahasa dan perbezaan perkauman itu bagi seluruh sistem pelajaran yang dibelanja dengan wang orang ramai tentulah tidak akan sesuai dengan satu dasar pendidikan yang bertujuan menimbulkan kesedaran kebangsaan dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan."
Laporan Rahman Talib ini menunjukkan bahawa usaha untuk menyeragamkan bahasa pengantar di sekolah-sekolah telah wujud sejak awal lagi. Pemupukan perpaduan melalui bahasa adalah aspek penting dalam proses pembinaan negara bangsa. Malah, sehingga ke hari ini penggubalan Akta Bahasa Kebangsaan ini sendiri adalah merupakan satu kompromi bahasa oleh berbagai-bagai kaum di negara ini, dan hal ini perlu dipupuk sejak dari zaman persekolahan lagi.
Sifat kemajmukan yang terdapat dalam masyarakat Malaysia dapat ditangani dengan berkesan dengan mengukuhkan peranan bahasa kebangsaan sebagai alat pembinaan minda kebangsaan di samping menjadi alat pembudayaan dan integrasi kaum yang amat berkesan selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.
Pendidikan Sejarah
Merujuk kepada konteks pembinaan negara bangsa, mata pelajaran sejarah memainkan peranan utama dalam membetuk negara bangsa. Hal ini kerana sejarah merupakan penyumbang yang sangat berkesan dalam mencapai matlamat pembangunan. Proses pembangunan murid-murid di sekolah dapat ditanamkan semangat patriotisme, kebangsaan dan kesetiaan kepada negara. Melalui mata pelajaran sejarah dapat membina semangat perpaduan dan perasaan hormat menghormati terutamanya dalam masyarakat yang berbilang kaum, keturunan, agama dan adat resam. Atas kesedaran ini, sukatan mata pelajaran sejarah baru yang telah digubal memberi penekanan kepada sejarah rakyat Malaysia dan perjuangannya.
Pendidikan sejarah merupakan mata pelajaran yang wajib diambil oleh semua rakyat Malaysia. Hal ini kerana, tidak dapat dinafikan lagi sejarah ini merupakan tunjang utama bagi mengukuhkan kesinambungan pembinaan sebuah negara. Jadi dengan itu, bagi melengkapkan proses tersebut, cara yang terbaik bagi merealisasikannya adalah melalui sukatan pendidikan dalam mata pelajaran sejarah. Hal ini kerana sejarah sangat penting kerana melalui sejarah dapat memantapkan lagi asas pembinaan negara bangsa. Identiti negara bangsa sangat sinonim dengan nasionalisme dan patriotisme negara.
Perkara yang paling penting dalam pengajaran sejarah adalah pembinaan semangat negara. Hal ini kerana melalui sukatan mata pelajaran sejarah dapat menimbulkan kesedaran dalam diri murid-murid mengenai masa lampau dan menjadi panduan untuk perjuangan masa depan. Masyarakat yang tahu akan hakikat kepentingan sejarah tidak akan mengabaikan sejarah tersebut malah mereka menggunakannya sebagai asas untuk membina masa depan serta membaiki segala kepincangan yang berlaku bagi membentuk sebuah negara bangsa yang harmoni. Malah, keadaan pendidikan sejarah juga bertetapan matlamat kerajaan dalam mewujudkan kesepaduan antara kalangan pelajar di mana mata pelajaran sejarah juga telah menjadi salah satu mata pelajaran yang wajid lulus dalam peperiksaan SPM dan hal ini telah digariskan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.
Pendidikan sejarah adalah asas penting dalam pembinaan bangsa Malaysia. Mempelajari sejarah bukanlah semata-mata untuk mendapatkan pengetahuan, tetapi ianya boleh menjadi pedoman dan memberi iktibar kepada sesuatu bangsa tentang apa yang telah berlaku. Oleh sebab sejarah memberikan banyak pengajaran yang berkaitrapat dengan jatuh bangunnya sesuatu bangsa dan negara maka sejarah patut dijadikan garis panduan untuk pembinaan semula kedudukan dan kekuatan bangsa dan negara.
Patriotisma adalah satu elemen utama dalam pendidikan sejarah yang bertujuan membina kesedaran dan mengukuhkan semangat perjuangan dan cintakan bangsa dan negara. Memupuk nilai-nilai patriotisme pada umumnya menjadi matlamat penting pendidikan sejarah dan ianya dapat dicapai sekiranya kurikulum sejarah negara ini menitikberatkan nilai-nilai ini. Melalui nilai patriotisme yang menjadi asas untuk mengembangkan semangat kebangsaan dan semangat kenegaraan, adalah diharapkan generasi muda mempunyai semangat ketahanan yang baik, berbangga dengan negara mereka dan mampu menghadapi persaingan dalam dunia yang berubah. Semangat patriotisme ini akan memperkukuhkan perkembangan individu dengan membina semangat cintakan bangsa dan negara, mencurahkan kesetiaan dan perjuangan mereka kepada kepentingan agama, bangsa dan negara.
Beberapa contoh pendidikan yang bertujuan menanamkan semangat patriotisme boleh diteliti seperti yang berlaku di negara Jepun dan Amerika Syarikat. Nilai-nilai patriotisme di negara ini disemai dengan meluas dalam sistem pendidikan dan persekolahan. Justeru itu, kurikulum pendidikan di sekolah perlu dikaji semula bagi tujuan memupuk dan menyemaikan semangat patrotisme di kalangan generasi muda. Semangat patriotisme amat penting bagi menghadapi cabaran globalisasi yang melanda dan cuba menghancurkan pembinaan konsep negara-bangsa.
Kesepaduan Kokurikulum
Asas sokongan lain untuk menjayakan proses pembinaan negara bangsa adalah melalui kokurikulum di sekolah. Kokurikulum ini memerlukan penglibatan murid-murid dalam kegiatan berkumpulan. Perkara ini telah memberi peluang baik kepada murid-murid untuk bargaul membuat kerja-kerja berkumpulan. Dengan itu, kokurikulum ini dianggap sebagai asas sokongan penting ke arah matlamat perpaduan dalam kalangan murid-murid yang berbilang kaum dan lapisan masyarakat. Melalui perpaduan inilah dapat mencapai matlamat bagi membina negara bangsa.
Kegiatan kokurikulum yang dijalankan telah menggalakkan semangat berkumpulan, bekerjasama dan menghormati. Selain itu, kegiatan seperti pergerakan persatuan dapat memberi pengalaman yang boleh memupuk semangat perpaduan dalam kalangan murid-murid. Di samping itu, kegiatan ini melibatkan penyertaan murid beramai-ramai dan ini merupakan satu cara yang sesuai untuk memupuk semangat kekitaan antara murid-murid yang berlainan latar belakang serta cara hidup yang berbeza.
Matlamat penubuhan persatuan adalah sangat baik kerana dapat menggalakkan murid-murid berkenalan sesama sendiri. Oleh itu, kegiatan tersebut telah menyumbang kepada kejayaan proses pembinaan negara bangsa. Aspek kokurikulum ini juga telah termaktub dalam strategi pelaksanaan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan di mana aspek kokurikulum antara pelajar telah ditekankan.
Hal ini menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia memandang serius setiap aspek yang perlu ditekankan di dalam pendidikan di Malaysia. Walaupun aspek kokurikulum bukan merupakan agenda utama dalam falsafah pendidikan kebangsaan, namun aspek ini dilihat sebagai aspek sampingan yang akan mewujudkan perpaduan kaum di Malaysia bagi pembinaan satu identiti Malaysia.
Setelah membaca artikel ini, Cuba jawab kuiz di pautan berikut:
No comments:
Post a Comment